Penyertaan Digital dan Ciri Keusahawanan Dalam Pemerkasaan Usahawan Wanita Di Malaysia Faradilah Iqmar & Samsudin A.Rahim, Universiti Kebangsaan Malaysia

Penyertaan Digital dan Ciri Keusahawanan Dalam Pemerkasaan Usahawan Wanita Di Malaysia
Faradilah Iqmar & Samsudin A.Rahim, Universiti Kebangsaan Malaysia

1.0              PENGENALAN
Penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan telah meningkat dengan ketara seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi. Sekarang ini ramai usahawan menggunakan aplikasi atas talian seperti blog, Facebook, Instagram dan juga aplikasi e-perniagaan untuk meningkatkan capaian urusan perniagaan dan juga memudahkan urusan jual beli barangan. Mostafa, Wheeler dan Jones (2006) mendapati usahawan yang mempunyai orientasi internet yang tinggi juga menunjukkan peningkatan dalam memperluaskan hasil perniagaan mereka. Justeru perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dilihat sebagai pemangkin kepada perluasan perniagaan terutamanya dalam perniagaan atas talian.

Keusahawanan sekarang ini dilihat sebagai satu agen perubahan yang boleh membantukan meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Banyak usaha telah dan sedang dilakukan untuk menggalakkan lebih ramai orang terlibat dalam bidang keusahawanan. Usahawan yang berjaya adalah usahawan yang mempunyai sifat inovatif yang tinggi yang dapat menzahirkan idea dan produk baru dan dengan itu dapat menggalakkan persaingan dalam perniagaan. McDougall dan Oviatt (2000) pula berpendapat usahawan yang berjaya seharusnya mempunyai gabungan ciri-ciri inovatif, proaktif dan berupaya menghadapi risiko. Terdapat empat ciri yang dikaitkan dengan usahawan iaitu, minat terhadap keusahawanan, inovasi produk yang dihasilkan, serta risiko perniagaan yang perlu dihadapi. Jelas, selain daripada faktor modal, infrastruktur dan kesediaan bekalan, empat faktor yang tersebut tadi juga merupakan perkara penting bersifat bukan material yang berupaya memperkasakan usahawan.

2.0       PENYERTAAN DIGITAL DAN KEUSAHAWANAN
Penyertaan digital merupakan akses dan kegunaan internet yang merangkumi pelbagai aktiviti yang berkaitan terhadap pencapaian masyarakat maklumat yang inklusif (Livingstone dan Helsper, 2007). Dengan itu penyertaan digital boleh dianggap sebagai kunci kepada meningkatkan kesedaran tentang manfaat dan faedah daripada teknologi digital, antaranya perkhidmatan kerajaan, hiburan, pekerjaan, perniagaan dan kaedah membeli-belah yang efisyen. Di United Kingdom (2008), terdapat 17 juta masyarakat tidak menggunakan internet dan 75 peratus adalah mereka yang tersisih secara sosial. Di Malaysia pula akses kepada internet adalah dalam sekitaran 69 peratus sahaja. Fakta ini menunjukkan jurang digital dari segi akses dan juga penyisihan digital dalam kalangan sebilangan masyarakat.

Fenomena ini diketahui sebagai keupayaan masyarakat dalam memahami kandungan Internet itu sendiri. Justeru, Warschauer (2003) memperkenalkan beberapa sumber yang diperlukan oleh masyarakat bermaklumat, iaitu 1) Sumber fizikal: akses kepada komputer dan internet; 2) Sumber digital: kemahiran untuk mencari dan memahami kandungan Internet; 3) Sumber manusia: penggunaan ICT dan pendidikan termasuk pengetahuan dan pemahaman dan 4) Sumber sosial: meliputi komuniti setempat, institusi dan struktur sosial yang bergantung dengan IT. Kesemua sumber ini adalah diperlukan dalam memperkukuhkan kemahiran IT dan mengatasi jurang digital.
3.0       KAEDAH KAJIAN
Kajian ini telah menggunakan dua kaedah tinjauan (survey) iaitu: (1) tinjauan secara temu bual bersemuka dan (2) tinjauan secara atas talian (online survey) ke atas 402 responden wanita yang menjalankan perniagaan atas talian. Pengumpulan data telah dilakukan selama 3 bulan iaitu bermula pada 26 November 2014 sehingga 8 Januari 2015. Dalam tempoh tersebut, sebanyak 352 responden secara bersemuka dan 78 responden secara atas talian telah diperolehi. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif peratusan, kekerapan dan ujian statistik regresi pelbagai.

4.0       HASIL KAJIAN
Majoriti daripada responden adalah usahawan wanita yang berumur antara 27 - 33 tahun (46%) dan yang berumur 22 -26 tahun. Sejumlah 62% responden menjalankan perniagaan secara perseorangan, iaitu secara bersendirian tanpa berkongsi dengan mana-mana pihak. Terdapat 24% responden pula berkongsi perniagaan dengan rakan mahupun keluarga dengan perkongsian ahli yang kecil. Sementara itu, 11% responden menjalankan perniagaan dengan pembukaan Syarikat Sendirian Berhad dan hanya sebilangan kecil sahaja iaitu 2% menjalankan perniagaan dengan lain-lain cara seperti menjadi ejen dropship. Dari segi pendapatan, majoriti responden memperoleh pendapatan antara RM1,501 – RM10,000 (37%) dalam tempoh satu bulan.

5.0      RUMUSAN
Menerusi kajian ini, usahawan wanita dapat memanfaatkan maklumat berkaitan keusahawanan melalui penyertaan digital internet. Susulan itu juga, jaringan hubungan sosial dengan ejen, pembekal, pelanggan dan pengiklan juga menjadi semakin mantap dengan adanya komunikasi dan interaksi melalui internet. Ia dapat memperkasakan usahawan wanita ke arah yang lebih baik kerana faktor hubungan dan jaringan memainkan peranan dalam membantu usahawan wanita atas talian untuk terus mengekalkan perniagaan mereka dengan pelanggan sedia ada. Sementara itu, risiko perniagaan dan inovasi produk menunjukkan hubungan yang signifikan terhadap pemerkasaan wanita. Ini selari dengan Cland dan Cland (2002) dalam Lai (2010) menjelaskan bahawa para usahawan harus berperanan sebagai pengambil risiko, pencapaian yang tinggi, berinovasi serta tahu menyelesaikan masalah untuk terus kekal dalam dunia perniagaan.


Justeru, kajian ini mendapati bahawa penyertaan digital usahawan wanita dan ciri keusahawanan mempunyai hubungan yang signifikan terhadap pemerkasaan wanita. Faktor risiko perniagaan dan inovasi produk menjadi penyumbang terhadap pemerkasaan wanita namun ianya disokong dengan komunikasi perniagaan yang tinggi dalam kalangan usahawan wanita. Oleh itu, gabungan antara penyertaan digital dan ciri keusahawanan memberikan impak yang tinggi terhadap pemerkasaan wanita. Kajian yang lebih terperinci perlu dijalankan untuk memahami kemanfaatan penyertaan digital dalam kalangan usahawan wanita. Cadangan kajian masa depan boleh diperluaskan dengan membuat perbandingan antara responden yang menjalankan perniagaan atas talian dengan responden yang tidak. Ini bertujuan melihat pola penyertaan digital serta kesannya terhadap pemerkasaan wanita secara keseluruhan. Selain itu, cadangan kajian lanjutan juga dapat dilakukan dengan memperluaskan skop kajian kepada jenis perniagaan atas talian, implikasi periklanan atas talian, pemasaran internet dan seumpamanya.

0 comments: