Menekuni Pengkajian Bahasa, Sastera dan Budaya demi Pelestarian Pengajian Melayu

Menekuni Pengkajian Bahasa, Sastera dan Budaya demi Pelestarian Pengajian Melayu

MUKHLIS ABU BAKAR ,SA’EDA BUANG ,KARTINI ANWAR KAMSIAH ABDULLAH
Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura
1.0              PENDAHULUAN

Kajian tentang orang Melayu telah bermula sejak zaman kolonial lagi oleh sarjana kolonial yang juga berupa birokrat kerajaan British dan Belanda dengan tujuan memahami orang Melayu untuk kepentingan penjajahan (Collins, 1989). Pengajian Melayu sebagai bidang akademik berputik di rantau ini secara rasmi dengan tertubuhnya Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya di Singapura pada tahun 1952. Ketika itu, bidang Pengajian Melayu program serupa yang ditawar-kan di Universiti London yang masih terbatas tumpuannya (Roolvink, 1962). Sejak merdeka, Pengajian Melayu di Singapura dan Malaysia telah berkembang dari segi jumlah universiti yang menekuni bidang ini, skop kajian, minat serta jenis-jenis kursus yang ditawarkan. Tumpuan pada bahasa dan sastera dan pendekatan yang di-terima pakai dalam pengkajian kedua sub-bidang ini kini melampaui pendekatan-pendekatan yang dahulunya menjadi tulang belakang Pengajian Melayu. Edisi khas ini menghidangkan makalah-makalah yang boleh dianggap sebagai mewakili bidang Pengajian Melayu semasa yang juga menjanjikan pelestarian bidang ini ketika masyarakat rumpun Melayu bergelut dengan masalah-masalah baharu sesuai dengan kemajuan pesat manusia.

Walaupun pada masa ini, bahasa dan sastera masih menjadi nadi penggerak utama para sarjana Pengajian Melayu, cakupan dan soalan-soalan yang ditekuninya lebih luas dan pelbagai. Kalau dahulu, bahasa dikaji dari sudut struktur linguistik, etimologi dan semantik, kini kajian bahasa mencakupi tatabahasa fungsional, fonologi, pragmatik, bahasa berkontekkan sosial dan budaya, linguistik historis dan bandingan, kurikulum dan pedagogi bahasa, perancangan bahasa, bilingualisme dan lain-lain. Kajian-kajian ini dapat kita kesan perkembangannya dalam buku-buku dan jurnal-jurnal bahasa/linguistik yang diterbitkan kini (cth., Asmah Haji Omar, 2001; Darwis Harahap, 1992; Hashim Musa, 1997; Juriah Long, 2002; Mashudi Kader, 2003; Nor Hashimah Jalaludin, 1992). Selain itu, terdapat juga usaha mempersoalkan perkembangan bahasa Melayu semasa secara kritis (Alisjahbana, 1976; Rustam Sani, 1993) walaupun hal ini belum mendapat perhatian penuh para sarjana Pengajian Melayu.

2.0              SAJIAN MAKALAH

Kelanjutan minat memerihalkan intipati budaya Melayu yang telah berputik dari awal Pengajian Melayu melalui penyisipan hal tersebut dalam bidang bahasa dan sastera kini semakin terserlah. Pemerhatian terhadap sari-sari budaya Melayu kini  mengambil tempatnya sebagai kajian bersifat mikro budaya yang tidak kurang pentingnya. Kajian Marlyna Maros tentang kesantunan merupakan satu contoh kajian budaya di tahap mikro yang ingin kami ketengahkan dalam edisi e-Utama kali ini. Makalah ini bukan sahaja menarik tetapi menambah nilai kepada ilmu pragmatik, khususnya dalam bidang kesantunan bahasa di kalangan orang Melayu dan bagaimana mereka berbeza dengan orang Cina sebagaimana yang ditemui oleh para sarjana lain.

Dalam makalah yang berikutnya pula, Sukardi Gau mengemukakan satu kajian awal tentang dialek Melayu di Papua, yang kajian seperti ini tidak banyak dilakukan oleh penyelidik lain. Makalah ini merupakan satu kerangka pengenalan yang berkaitan dengan dialek Melayu di Papua, yang membicarakan aspek varian Melayu Papua sebagai cabang bahasa Melayu Maluku; faktor-faktor penyebarannya; diversiti dan peranannya; fenomena penggunaan dialek Melayu ini dengan bahasa Indonesia di Papua; dan pemerian ringkas ciri-ciri linguistik bahasa Melayu di Papua (afiksasi, bentuk penyingkatan, jenis kata, pemarkahan frasa dan jenis klausa serta leksikon). Makalah ini mengandungi maklumat yang berguna kepada mereka yang tidak begitu tahu tentang kawasan geolinguistik yang dibincangkan.

Makalah tulisan Mazlan Hj. A. Karim dan A. Rahman Hj. Mohamed membawa kita ke persimpangan bahasa dan seni, khususnya peranan dan fungsi karya seni visual sebagai ungkapan perasaan peribadi terhadap peribahasa dan bidalan yang merupakan warisan tradisional Melayu. Dengan mengambil contoh dua cetakan, makalah ini memberi pemahaman tentang sempadan (interface) yang rumit antara sastera dan seni, antara lisan dan visual, antara tradisional dan moden dalam seni cetak Malaysia semasa, yang kini sangat terlibat dalam usaha mencari ciri-ciri khusus kemelayuan. Makalah ini menarik terutama kerana keupayaan penulis melihat butir-butir kecil tentang bentuk dan mesej dalam cetakan yang dibincangkan-nya yang mengungkapkan sempadan yang disebut tadi.

Makalah seterusnya tulisan Rahmah Ahmad H. Osman dan Mohd Shahrizal Nasir merupakan satu usaha serius untuk mengupas tentang ‚wacana sastera Islam‛ dalam kesusasteraan Melayu dengan meletakkannya dalam konteks wacana sastera Islam di dunia Arab. Makalah ini dihasilkan di saat konsep Sastera Islam sudah kurang mendapat perhatian. Sastera Islam pernah mendapat tempat dalam polemik sastera di Malaysia pada tahun 1970-an. Dalam makalah ini, penulis berusaha untuk mengetengahkan konsep Sastera Islam dengan membandingkan pandangan dua tokoh yang datang dari latar geografi yang berbeza iaitu Mohd Affandi Hassan dan Abu al-Hassan Ali al-Nadwi. Penulis mencadangkan penggunaan pendekatan Tau-hid dan melihat sastera dalam pengertian ‘al-adab’ iaitu ilmu dalam estetika, yang dapat menyentuh aspek rohani, jasmani dan akal khalayak sastera.

3.0              Kesimpulan


Pastinya, pelestarian Pengajian Melayu dapat berlangsung dengan lebih ampuh jika minat para sarjana dapat diimbangi dengan usaha ke arah memahami halangan-halangan yang membelenggu masyarakat Melayu, contohnya halangan yang menghalang bahasa Melayu daripada menjadi bahasa yang berkesan dalam bidang saintifik, intelektual, budaya dan ekonomi. Kajian-kajian dalam bidang sastera dan budaya, sama ada pada tahap mikro dan makro, intra-mandala atau silang budaya atau bandingan harus berterusan demi mengangkat Pengajian Melayu di tahap yang lebih tinggi dan harmonis dengan kemajuan ilmu pengetahuan. E-Utama bercita-cita dapat terus berperanan dalam usaha melestarikan Pengajian Melayu pada masa-masa yang mendatang melalui kajian dan wacana ilmu yang kritikal, semakin ma-tang dan membangun kemanusiaan.

0 comments: