Penyertaan Digital dan Ciri Keusahawanan Dalam Pemerkasaan Usahawan Wanita Di Malaysia Faradilah Iqmar & Samsudin A.Rahim, Universiti Kebangsaan Malaysia

Penyertaan Digital dan Ciri Keusahawanan Dalam Pemerkasaan Usahawan Wanita Di Malaysia
Faradilah Iqmar & Samsudin A.Rahim, Universiti Kebangsaan Malaysia

1.0              PENGENALAN
Penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan telah meningkat dengan ketara seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi. Sekarang ini ramai usahawan menggunakan aplikasi atas talian seperti blog, Facebook, Instagram dan juga aplikasi e-perniagaan untuk meningkatkan capaian urusan perniagaan dan juga memudahkan urusan jual beli barangan. Mostafa, Wheeler dan Jones (2006) mendapati usahawan yang mempunyai orientasi internet yang tinggi juga menunjukkan peningkatan dalam memperluaskan hasil perniagaan mereka. Justeru perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dilihat sebagai pemangkin kepada perluasan perniagaan terutamanya dalam perniagaan atas talian.

Keusahawanan sekarang ini dilihat sebagai satu agen perubahan yang boleh membantukan meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Banyak usaha telah dan sedang dilakukan untuk menggalakkan lebih ramai orang terlibat dalam bidang keusahawanan. Usahawan yang berjaya adalah usahawan yang mempunyai sifat inovatif yang tinggi yang dapat menzahirkan idea dan produk baru dan dengan itu dapat menggalakkan persaingan dalam perniagaan. McDougall dan Oviatt (2000) pula berpendapat usahawan yang berjaya seharusnya mempunyai gabungan ciri-ciri inovatif, proaktif dan berupaya menghadapi risiko. Terdapat empat ciri yang dikaitkan dengan usahawan iaitu, minat terhadap keusahawanan, inovasi produk yang dihasilkan, serta risiko perniagaan yang perlu dihadapi. Jelas, selain daripada faktor modal, infrastruktur dan kesediaan bekalan, empat faktor yang tersebut tadi juga merupakan perkara penting bersifat bukan material yang berupaya memperkasakan usahawan.

2.0       PENYERTAAN DIGITAL DAN KEUSAHAWANAN
Penyertaan digital merupakan akses dan kegunaan internet yang merangkumi pelbagai aktiviti yang berkaitan terhadap pencapaian masyarakat maklumat yang inklusif (Livingstone dan Helsper, 2007). Dengan itu penyertaan digital boleh dianggap sebagai kunci kepada meningkatkan kesedaran tentang manfaat dan faedah daripada teknologi digital, antaranya perkhidmatan kerajaan, hiburan, pekerjaan, perniagaan dan kaedah membeli-belah yang efisyen. Di United Kingdom (2008), terdapat 17 juta masyarakat tidak menggunakan internet dan 75 peratus adalah mereka yang tersisih secara sosial. Di Malaysia pula akses kepada internet adalah dalam sekitaran 69 peratus sahaja. Fakta ini menunjukkan jurang digital dari segi akses dan juga penyisihan digital dalam kalangan sebilangan masyarakat.

Fenomena ini diketahui sebagai keupayaan masyarakat dalam memahami kandungan Internet itu sendiri. Justeru, Warschauer (2003) memperkenalkan beberapa sumber yang diperlukan oleh masyarakat bermaklumat, iaitu 1) Sumber fizikal: akses kepada komputer dan internet; 2) Sumber digital: kemahiran untuk mencari dan memahami kandungan Internet; 3) Sumber manusia: penggunaan ICT dan pendidikan termasuk pengetahuan dan pemahaman dan 4) Sumber sosial: meliputi komuniti setempat, institusi dan struktur sosial yang bergantung dengan IT. Kesemua sumber ini adalah diperlukan dalam memperkukuhkan kemahiran IT dan mengatasi jurang digital.
3.0       KAEDAH KAJIAN
Kajian ini telah menggunakan dua kaedah tinjauan (survey) iaitu: (1) tinjauan secara temu bual bersemuka dan (2) tinjauan secara atas talian (online survey) ke atas 402 responden wanita yang menjalankan perniagaan atas talian. Pengumpulan data telah dilakukan selama 3 bulan iaitu bermula pada 26 November 2014 sehingga 8 Januari 2015. Dalam tempoh tersebut, sebanyak 352 responden secara bersemuka dan 78 responden secara atas talian telah diperolehi. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif peratusan, kekerapan dan ujian statistik regresi pelbagai.

4.0       HASIL KAJIAN
Majoriti daripada responden adalah usahawan wanita yang berumur antara 27 - 33 tahun (46%) dan yang berumur 22 -26 tahun. Sejumlah 62% responden menjalankan perniagaan secara perseorangan, iaitu secara bersendirian tanpa berkongsi dengan mana-mana pihak. Terdapat 24% responden pula berkongsi perniagaan dengan rakan mahupun keluarga dengan perkongsian ahli yang kecil. Sementara itu, 11% responden menjalankan perniagaan dengan pembukaan Syarikat Sendirian Berhad dan hanya sebilangan kecil sahaja iaitu 2% menjalankan perniagaan dengan lain-lain cara seperti menjadi ejen dropship. Dari segi pendapatan, majoriti responden memperoleh pendapatan antara RM1,501 – RM10,000 (37%) dalam tempoh satu bulan.

5.0      RUMUSAN
Menerusi kajian ini, usahawan wanita dapat memanfaatkan maklumat berkaitan keusahawanan melalui penyertaan digital internet. Susulan itu juga, jaringan hubungan sosial dengan ejen, pembekal, pelanggan dan pengiklan juga menjadi semakin mantap dengan adanya komunikasi dan interaksi melalui internet. Ia dapat memperkasakan usahawan wanita ke arah yang lebih baik kerana faktor hubungan dan jaringan memainkan peranan dalam membantu usahawan wanita atas talian untuk terus mengekalkan perniagaan mereka dengan pelanggan sedia ada. Sementara itu, risiko perniagaan dan inovasi produk menunjukkan hubungan yang signifikan terhadap pemerkasaan wanita. Ini selari dengan Cland dan Cland (2002) dalam Lai (2010) menjelaskan bahawa para usahawan harus berperanan sebagai pengambil risiko, pencapaian yang tinggi, berinovasi serta tahu menyelesaikan masalah untuk terus kekal dalam dunia perniagaan.


Justeru, kajian ini mendapati bahawa penyertaan digital usahawan wanita dan ciri keusahawanan mempunyai hubungan yang signifikan terhadap pemerkasaan wanita. Faktor risiko perniagaan dan inovasi produk menjadi penyumbang terhadap pemerkasaan wanita namun ianya disokong dengan komunikasi perniagaan yang tinggi dalam kalangan usahawan wanita. Oleh itu, gabungan antara penyertaan digital dan ciri keusahawanan memberikan impak yang tinggi terhadap pemerkasaan wanita. Kajian yang lebih terperinci perlu dijalankan untuk memahami kemanfaatan penyertaan digital dalam kalangan usahawan wanita. Cadangan kajian masa depan boleh diperluaskan dengan membuat perbandingan antara responden yang menjalankan perniagaan atas talian dengan responden yang tidak. Ini bertujuan melihat pola penyertaan digital serta kesannya terhadap pemerkasaan wanita secara keseluruhan. Selain itu, cadangan kajian lanjutan juga dapat dilakukan dengan memperluaskan skop kajian kepada jenis perniagaan atas talian, implikasi periklanan atas talian, pemasaran internet dan seumpamanya.

0 comments:

Menekuni Pengkajian Bahasa, Sastera dan Budaya demi Pelestarian Pengajian Melayu

Menekuni Pengkajian Bahasa, Sastera dan Budaya demi Pelestarian Pengajian Melayu

MUKHLIS ABU BAKAR ,SA’EDA BUANG ,KARTINI ANWAR KAMSIAH ABDULLAH
Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura
1.0              PENDAHULUAN

Kajian tentang orang Melayu telah bermula sejak zaman kolonial lagi oleh sarjana kolonial yang juga berupa birokrat kerajaan British dan Belanda dengan tujuan memahami orang Melayu untuk kepentingan penjajahan (Collins, 1989). Pengajian Melayu sebagai bidang akademik berputik di rantau ini secara rasmi dengan tertubuhnya Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya di Singapura pada tahun 1952. Ketika itu, bidang Pengajian Melayu program serupa yang ditawar-kan di Universiti London yang masih terbatas tumpuannya (Roolvink, 1962). Sejak merdeka, Pengajian Melayu di Singapura dan Malaysia telah berkembang dari segi jumlah universiti yang menekuni bidang ini, skop kajian, minat serta jenis-jenis kursus yang ditawarkan. Tumpuan pada bahasa dan sastera dan pendekatan yang di-terima pakai dalam pengkajian kedua sub-bidang ini kini melampaui pendekatan-pendekatan yang dahulunya menjadi tulang belakang Pengajian Melayu. Edisi khas ini menghidangkan makalah-makalah yang boleh dianggap sebagai mewakili bidang Pengajian Melayu semasa yang juga menjanjikan pelestarian bidang ini ketika masyarakat rumpun Melayu bergelut dengan masalah-masalah baharu sesuai dengan kemajuan pesat manusia.

Walaupun pada masa ini, bahasa dan sastera masih menjadi nadi penggerak utama para sarjana Pengajian Melayu, cakupan dan soalan-soalan yang ditekuninya lebih luas dan pelbagai. Kalau dahulu, bahasa dikaji dari sudut struktur linguistik, etimologi dan semantik, kini kajian bahasa mencakupi tatabahasa fungsional, fonologi, pragmatik, bahasa berkontekkan sosial dan budaya, linguistik historis dan bandingan, kurikulum dan pedagogi bahasa, perancangan bahasa, bilingualisme dan lain-lain. Kajian-kajian ini dapat kita kesan perkembangannya dalam buku-buku dan jurnal-jurnal bahasa/linguistik yang diterbitkan kini (cth., Asmah Haji Omar, 2001; Darwis Harahap, 1992; Hashim Musa, 1997; Juriah Long, 2002; Mashudi Kader, 2003; Nor Hashimah Jalaludin, 1992). Selain itu, terdapat juga usaha mempersoalkan perkembangan bahasa Melayu semasa secara kritis (Alisjahbana, 1976; Rustam Sani, 1993) walaupun hal ini belum mendapat perhatian penuh para sarjana Pengajian Melayu.

2.0              SAJIAN MAKALAH

Kelanjutan minat memerihalkan intipati budaya Melayu yang telah berputik dari awal Pengajian Melayu melalui penyisipan hal tersebut dalam bidang bahasa dan sastera kini semakin terserlah. Pemerhatian terhadap sari-sari budaya Melayu kini  mengambil tempatnya sebagai kajian bersifat mikro budaya yang tidak kurang pentingnya. Kajian Marlyna Maros tentang kesantunan merupakan satu contoh kajian budaya di tahap mikro yang ingin kami ketengahkan dalam edisi e-Utama kali ini. Makalah ini bukan sahaja menarik tetapi menambah nilai kepada ilmu pragmatik, khususnya dalam bidang kesantunan bahasa di kalangan orang Melayu dan bagaimana mereka berbeza dengan orang Cina sebagaimana yang ditemui oleh para sarjana lain.

Dalam makalah yang berikutnya pula, Sukardi Gau mengemukakan satu kajian awal tentang dialek Melayu di Papua, yang kajian seperti ini tidak banyak dilakukan oleh penyelidik lain. Makalah ini merupakan satu kerangka pengenalan yang berkaitan dengan dialek Melayu di Papua, yang membicarakan aspek varian Melayu Papua sebagai cabang bahasa Melayu Maluku; faktor-faktor penyebarannya; diversiti dan peranannya; fenomena penggunaan dialek Melayu ini dengan bahasa Indonesia di Papua; dan pemerian ringkas ciri-ciri linguistik bahasa Melayu di Papua (afiksasi, bentuk penyingkatan, jenis kata, pemarkahan frasa dan jenis klausa serta leksikon). Makalah ini mengandungi maklumat yang berguna kepada mereka yang tidak begitu tahu tentang kawasan geolinguistik yang dibincangkan.

Makalah tulisan Mazlan Hj. A. Karim dan A. Rahman Hj. Mohamed membawa kita ke persimpangan bahasa dan seni, khususnya peranan dan fungsi karya seni visual sebagai ungkapan perasaan peribadi terhadap peribahasa dan bidalan yang merupakan warisan tradisional Melayu. Dengan mengambil contoh dua cetakan, makalah ini memberi pemahaman tentang sempadan (interface) yang rumit antara sastera dan seni, antara lisan dan visual, antara tradisional dan moden dalam seni cetak Malaysia semasa, yang kini sangat terlibat dalam usaha mencari ciri-ciri khusus kemelayuan. Makalah ini menarik terutama kerana keupayaan penulis melihat butir-butir kecil tentang bentuk dan mesej dalam cetakan yang dibincangkan-nya yang mengungkapkan sempadan yang disebut tadi.

Makalah seterusnya tulisan Rahmah Ahmad H. Osman dan Mohd Shahrizal Nasir merupakan satu usaha serius untuk mengupas tentang ‚wacana sastera Islam‛ dalam kesusasteraan Melayu dengan meletakkannya dalam konteks wacana sastera Islam di dunia Arab. Makalah ini dihasilkan di saat konsep Sastera Islam sudah kurang mendapat perhatian. Sastera Islam pernah mendapat tempat dalam polemik sastera di Malaysia pada tahun 1970-an. Dalam makalah ini, penulis berusaha untuk mengetengahkan konsep Sastera Islam dengan membandingkan pandangan dua tokoh yang datang dari latar geografi yang berbeza iaitu Mohd Affandi Hassan dan Abu al-Hassan Ali al-Nadwi. Penulis mencadangkan penggunaan pendekatan Tau-hid dan melihat sastera dalam pengertian ‘al-adab’ iaitu ilmu dalam estetika, yang dapat menyentuh aspek rohani, jasmani dan akal khalayak sastera.

3.0              Kesimpulan


Pastinya, pelestarian Pengajian Melayu dapat berlangsung dengan lebih ampuh jika minat para sarjana dapat diimbangi dengan usaha ke arah memahami halangan-halangan yang membelenggu masyarakat Melayu, contohnya halangan yang menghalang bahasa Melayu daripada menjadi bahasa yang berkesan dalam bidang saintifik, intelektual, budaya dan ekonomi. Kajian-kajian dalam bidang sastera dan budaya, sama ada pada tahap mikro dan makro, intra-mandala atau silang budaya atau bandingan harus berterusan demi mengangkat Pengajian Melayu di tahap yang lebih tinggi dan harmonis dengan kemajuan ilmu pengetahuan. E-Utama bercita-cita dapat terus berperanan dalam usaha melestarikan Pengajian Melayu pada masa-masa yang mendatang melalui kajian dan wacana ilmu yang kritikal, semakin ma-tang dan membangun kemanusiaan.

0 comments:

Ulasan Filem Rock Bro!!!

ULASAN FILEM ROCK BRO (2016)


Filem Rock Bro (2016) adalah filem terakhir dalam Trilogi Rock selepas filem Rock (2005) dan Rock Oo (2013). Ini juga merupakan perjalanan terakhir kumpulan Rimba Bara. Filem ini diarahkan oleh Mamat Khalid dan dibintangi oleh pelakon utama Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Soffi Jikan, Azmi Bahron, dan Amy Jueliet ( pelakon baru yang membawa watak Ella ). Penampilan istimewa dalam filem ini adalah Shuib Sepahtu, Dato Hattan, Man Kidal, Black Wings dan Yan Lefthanded.

SINOPSIS 


Filem ini mengisahkan mengenai kumpulan Rimba Bara yang masih berjuang mempertahankan rock di tanah air semasa zaman kegawatan ekonomi. Kumpulan Rimba Bara sudah lama tidak mengadakan persembahan sebaliknya membuat kerja-kerja sambilan mengambil tawaran show kat tapak ekspo tani. Mereka tetap teguh berdiri walaupun hanya beberapa orang penonton saja untuk setiap persembahan. Malah, mereka hanya mendapat buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai bayaran untuk setiap persembahan mereka. Inilah liku kehidupan seorang rocker yang memperjuangkan muzik rock. Ada yang kecundang di tengah jalan dan beralih arah seperti watak Zul Kapan (Sofi Jikan) yang menyertai kumpuan rap, 4URU.

Kisah mereka kemudiannya menjadi menarik apabila mereka mendapat durian runtuh kerana ditawarkan membuat rakaman album daripada satu syarikat muzik.  Di situlah, Jijo bertemu Ella dan jatuh cinta. Semasa melancarkan album Rimba Bara, Jijo menyatakan hasrat untuk keluar daripada Rimba Bara dan berhenti daripada bidang seni. Dan sanggup meninggalkan kehidupannya sebagai rockers dan menjadi kontraktor kelas F sebagai bukti dia benar-benar menyayangi Ella (Amy Juliet) dan  Ini menyebabkan perpecahan kumpulan Rimba Bara.


REVIEW



Banyak lagu rock yang disiarkan dan ia membuatkan kita sebagai penonton berasa teruja. Dan kebanyakan lagu adalah lagu lama-lama dahulu dan jarang disiarkan dalam corong-corong radio serta generasi sekarang tidak pernah mendengar lagu-lagu tersebut. Setiap kali lagu disiarkan, bagaikan kita melihat video klip dalam filem. Kononnya, lagu-lagu tersebut adalah hits kumpulan Rimba Bara. Video klip pula memang  kelakar dan mencuit hati bila melihatnya. Memang kita tahu Mamat Khalid akan mencipta video klip yang kelakar.

Kisah dalam filem ini lebih ditumpukan kepada watak Jijo yang dipegang oleh Khir Rahman dan Slash. Jijo yang menjadi tunjang utama kumpulan akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan Rimba Bara kerana kecewa dengan Ella. Cerita ini juga menunjukkan kepayahan untuk menjadi penyanyi rock masa dahulu.

Memang kita tengok rasa kelakar dengan setiap watak yang ada. Masing-masing mempunyai karakter tersendiri. Watak Cik Man masih memang terbaiklah dan aku memang ternanti-nanti kemunculan watak Cik Man Cuma watak Zul Kapan (Sofi Jikan) tidak menyerlah dan kehilangan identiti sebab watak dia jadi macam lelaki lembut kemungkinan nak ganti watak Amy Mat Piah ( Que Haidar) . Walaupun flashback watak Amy Mat Piah ada dalam filem ni tetapi masih diingati oleh penonton yang telah dimatikan kerana mengidap sakit mental.

Pujian wajar diberikan kepada watak Ella. Aku rasa dia berjaya membawa imej Ella dengan baik. Gaya manja dan mengada-gada tetap ada. Manakala watak Che Nod (adik Che Man) , bagi aku, hanya sekadar untuk menyedapkan lagi cerita. 


Filem ini tidak penuh dengan komedi seperti filem sebelumnya. Mungkin kerana Rock Bro adalah pengakhiran cerita dan lebih serius dalam sudut penceritaan. Filem ini dianggap sedih kerana akhirnya Jijo (Khir Rahman) mengalami kemalangan sehingga meragut nyawanya sebelah balik dari majlis perkahwinan Zack (Hasnol). Di akhir-akhir filem ni aku tengok macam kurang penghayatan sebab nampak berbeza dari 2 filem sebelumnya sebab baru nak feel sedih dan tukar scene..memang potong stim sungguh. Baru nak nangis ..tup-tup tukar scene kelakar plak…adoiiii..


Keseluruhan filem ini, aku rasa macam biasa-biasa je tetapi aku puas hati sebab akhirnya aku tahu kesudahan cerita apa yang terjadi pada kumpulan Rimba Bara ni.. Kepada peminat Trilogi Rock, jangan lepaskan peluang untuk menonton filem penutup trilogi ini. Memang lagu-lagu dalam filem ini membuat kita teringat kepada kumpulan rock terdahulu dan mempunyai maksud dalam lirik lagu tu berbanding sekarang ni banyak lagu dengan lirik mengarut.

0 comments:

Catatan Perjalanan Dari Alor Setar ke Padang Besar

Catatan Perjalanan Dari Alor Setar ke Padang Besar
30 Disember 2016
Anak perempuan aku dah mula bising sebab kami sekeluarga tidak ke mana-mana cuti sekolah ni dan anak lelaki aku asyik dok kat umah je sebab baru abis SPM, aku dan isteri aku pun berbincang nak ke mana kami nak bawa anak kami berdua tu. Isteri aku cakap member dia dah pi ke Padang Besar dan banyak perubahan tak macam dulu. Aku pun cakap kat isteri aku yang sekarang ni cuti sekolah dan ramai orang akan pergi ke Padang Besar tu dan jalan akan jem serta tak ada parking kereta api isteri aku cakap member dia tu naik kereta api komuter je pi Padang Besar. Aku pun setuju kami sekeluarga pi ke Padang Besar dengan menaiki kereta api komuter sebab senang dan mudah. Anak perempuan aku pun belum pernah naik kereta api.
Petang tu kami sekeluarga pergi ke Stesen kereta api Alor Setar untuk membeli tiket dan sampai di kaunter tiket kami telah bertanya kepada kerani tiket tersebut berapa harga tiket dan waktu perjalanan kereta api  dari Alor Setar ke Padang Besar. Kerani tu cakap kalau naik ETS tambang RM 16.00 sorang dan kalau naik komuter plak, harganya RM 5.70 sorang untuk dewasa. Kami pun ambil keputusan untuk beli tiket naik komuter je untuk 31 Disember 2016. Kerani tu cakap tiket hanya boleh dibeli pada masa nak pi Padang Besar je dan tak boleh beli sehari sebelum. Kami pun baliklah ke umah dan malam tu kami berbincang untuk bergerak awal pagi jam lebih kurang 6.00 pagi supaya kami boleh membeli tiket awal dan bersarapan.

31 Disember 2016
Kami bergerak dari umah di Jitra menuju ke Stesen Kereta api Alor Setar dan sampai lebih kurang 6.30 pagi. Kami telah membeli tiket untuk 4 orang dewasa pi dan balik berjumlah RM 45.60. Selepas itu kami pun pi sarapan di gerai makanan bersebelahan bangunan Bank Rakyat Alor Setar.


Kami menaiki komuter jam 7.33 pagi dan semasa kami menaiki komuter tersebut kelihatan ramai penumpang berada dalam komuter tersebut. Mungkin mereka naik komuter dari Stesen Butterworth kot. Ramai penumpang berbangsa Cina dalam komuter tersebut dan mungkin mereka hendak ke Hatyai atau Krabi untuk bercuti dan menyambut Tahun Baru kat sana. Kami sekeluarga dapat melihat keindahan sawah padi dan bukit bukau sepanjang perjalanan ke Padang Besar. Dalam perjalanan tersebut, komuter telah berhenti di stesen Anak Bukit, Kodiang, Arau, Bukit Keteri dan akhir sekali Padang Besar.

Perjalanan dari Stesen Alor Setar ke Padang Besar memakan masa 45 minit sahaja. Kami sampai di stesen Padang Besar disambut dengan hujan renyai-renyai. Seterusnya kami bergerak ke arah pekan Padang Besar. Keluar sahaja dari Stesen Padang Besar, kami terus melintas melalui sempadan Padang Besar dan Thailand.

        KAMI SWAFOTO SEMASA SAMPAI DI STESEN PADANG BESAR


Padang Besar terletak di sempadan Negeri Perlis dan Thailand (Bandar Songkla) dan lokasinya adalah 35 km menghala ke Timur Laut bandar Kangar. Kalau dah ke sini, maka rugilah kalau tak singgah ke Padang Besar, kata mak aku barang-barang dekat situ murah-murah terutamanya pinggan mangkuk dan periuk belanga. Menurut sumber yang boleh dipercayai, Padang Besar ni bertentangan dengan sebuah pekan di Thailand yang juga dinamakan Padang Besar.

Kami sekeluarga menuju ke bangunan Aked Niaga dan melihat banyak gerai dan kedai-kedai yang masih belum dibuka. Seterusnya kami pergi ke gerai makanan yang terletak di sebelah Aked Niaga untuk bersarapan sambil menunggu kedai-kedai dibuka. Kami bersarapan nasi lemak dan pulut ayam….memang sedapppp…kami sempat bertanyakan kepada peniaga tu jam berapa mereka berniaga dan mereka cakap jam lebih kurang 10.30 pagi.


                       MAKANAN SEDAP-SEDAP KAT SINI …BAK HANG !!!!!!


Jam lebih kurang 10.15 pagi kami lihat ramai peniaga tengah bersiap-siap untuk memulakan perniagaan. Selepas itu kami terus memasuki Aked Niaga dan melihat banyak barangan seperti pakaian-pakaian, alat-alat solek, beg-beg, permainan kanak-kanak dan banyak lagi. Puas jugak kami berjalan dan melihat kedai-kedai dalam Aked Niaga tu.. Ada 2 tingkat dan rambang mata gak kami melihat semua jualan dalam kedai tu…

                                                      BANGUNAN AKED NIAGA
           
  GERAI-GERAI YANG TERDAPAT DALAM BANGUNAN AKED NIAGA




JERSI BOLA SEPAK MACAM-MACAM GRED ADA….MAI TENGOK DULU

                                   

MACAM-MACAM JENIS MAKANAN YANG DI JUAL DI SINI


GERAI PAKAIAN YANG TERDAPAT DI GERAI –GERAI BERHAMPIRAN AKED NIAGA 

Kami juga sempat membeli beberapa helai baju t-shirt bola sepak dan seluar panjang serta alat-alat solekan.
 Jam lebih kurang 4.30 petang kami bergerak balik dari Aked Niaga ke stesen kereta api Padang Besar dan seterusnya menaiki komuter balik ke Stesen Alor Setar.

Memang rugi kalau sesapa yang tak pergi ke Padang Besar. Kalau tak nak naik kereta, kita naik la komuter….senang, mudah dan tidak memenatkan.

0 comments: