Penyertaan Digital dan Ciri Keusahawanan Dalam Pemerkasaan Usahawan Wanita Di Malaysia Faradilah Iqmar & Samsudin A.Rahim, Universiti Kebangsaan Malaysia
Penyertaan Digital dan Ciri
Keusahawanan Dalam Pemerkasaan Usahawan Wanita Di Malaysia
Faradilah Iqmar & Samsudin
A.Rahim, Universiti Kebangsaan Malaysia
1.0
PENGENALAN
Penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan telah
meningkat dengan ketara seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan
komunikasi. Sekarang ini ramai usahawan menggunakan aplikasi atas talian
seperti blog, Facebook, Instagram dan juga aplikasi e-perniagaan
untuk meningkatkan capaian urusan perniagaan dan juga memudahkan urusan jual
beli barangan. Mostafa, Wheeler dan Jones (2006) mendapati usahawan yang
mempunyai orientasi internet yang tinggi juga menunjukkan peningkatan dalam
memperluaskan hasil perniagaan mereka. Justeru perkembangan teknologi maklumat
dan komunikasi dilihat sebagai pemangkin kepada perluasan perniagaan
terutamanya dalam perniagaan atas talian.
Keusahawanan sekarang ini dilihat sebagai satu agen
perubahan yang boleh membantukan meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Banyak usaha
telah dan sedang dilakukan untuk menggalakkan lebih ramai orang terlibat dalam
bidang keusahawanan. Usahawan yang berjaya adalah usahawan yang mempunyai sifat
inovatif yang tinggi yang dapat menzahirkan idea dan produk baru dan dengan itu
dapat menggalakkan persaingan dalam perniagaan. McDougall dan Oviatt (2000)
pula berpendapat usahawan yang berjaya seharusnya mempunyai gabungan ciri-ciri
inovatif, proaktif dan berupaya menghadapi risiko. Terdapat empat ciri yang
dikaitkan dengan usahawan iaitu, minat terhadap keusahawanan, inovasi produk
yang dihasilkan, serta risiko perniagaan yang perlu dihadapi. Jelas, selain
daripada faktor modal, infrastruktur dan kesediaan bekalan, empat faktor yang
tersebut tadi juga merupakan perkara penting bersifat bukan material yang
berupaya memperkasakan usahawan.
2.0 PENYERTAAN DIGITAL DAN KEUSAHAWANAN
Penyertaan digital merupakan akses dan kegunaan internet
yang merangkumi pelbagai aktiviti yang berkaitan terhadap pencapaian masyarakat
maklumat yang inklusif (Livingstone dan Helsper, 2007). Dengan itu penyertaan
digital boleh dianggap sebagai kunci kepada meningkatkan kesedaran tentang
manfaat dan faedah daripada teknologi digital, antaranya perkhidmatan kerajaan,
hiburan, pekerjaan, perniagaan dan kaedah membeli-belah yang efisyen. Di United
Kingdom (2008), terdapat 17 juta masyarakat tidak menggunakan internet dan 75
peratus adalah mereka yang tersisih secara sosial. Di Malaysia pula akses
kepada internet adalah dalam sekitaran 69 peratus sahaja. Fakta ini menunjukkan
jurang digital dari segi akses dan juga penyisihan digital dalam kalangan
sebilangan masyarakat.
Fenomena ini diketahui sebagai keupayaan masyarakat dalam memahami
kandungan Internet itu sendiri. Justeru, Warschauer (2003) memperkenalkan
beberapa sumber yang diperlukan oleh masyarakat bermaklumat, iaitu 1) Sumber
fizikal: akses kepada komputer dan internet; 2) Sumber digital: kemahiran untuk
mencari dan memahami kandungan Internet; 3) Sumber manusia: penggunaan ICT dan
pendidikan termasuk pengetahuan dan pemahaman dan 4) Sumber sosial: meliputi
komuniti setempat, institusi dan struktur sosial yang bergantung dengan IT.
Kesemua sumber ini adalah diperlukan dalam memperkukuhkan kemahiran IT dan
mengatasi jurang digital.
3.0 KAEDAH KAJIAN
Kajian ini telah menggunakan dua kaedah tinjauan (survey)
iaitu: (1) tinjauan secara temu bual bersemuka dan (2) tinjauan secara atas
talian (online survey) ke atas 402 responden wanita yang menjalankan
perniagaan atas talian. Pengumpulan data telah dilakukan selama 3 bulan iaitu
bermula pada 26 November 2014 sehingga 8 Januari 2015. Dalam tempoh tersebut,
sebanyak 352 responden secara bersemuka dan 78 responden secara atas talian
telah diperolehi. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif peratusan,
kekerapan dan ujian statistik regresi pelbagai.
4.0 HASIL KAJIAN
Majoriti daripada responden adalah usahawan wanita yang berumur
antara 27 - 33 tahun (46%) dan yang berumur 22 -26 tahun. Sejumlah 62%
responden menjalankan perniagaan secara perseorangan, iaitu secara bersendirian
tanpa berkongsi dengan mana-mana pihak. Terdapat 24% responden pula berkongsi
perniagaan dengan rakan mahupun keluarga dengan perkongsian ahli yang kecil.
Sementara itu, 11% responden menjalankan perniagaan dengan pembukaan Syarikat
Sendirian Berhad dan hanya sebilangan kecil sahaja iaitu 2% menjalankan
perniagaan dengan lain-lain cara seperti menjadi ejen dropship. Dari
segi pendapatan, majoriti responden memperoleh pendapatan antara RM1,501 –
RM10,000 (37%) dalam tempoh satu bulan.
5.0
RUMUSAN
Menerusi kajian ini, usahawan wanita dapat memanfaatkan
maklumat berkaitan keusahawanan melalui penyertaan digital internet. Susulan
itu juga, jaringan hubungan sosial dengan ejen, pembekal, pelanggan dan pengiklan
juga menjadi semakin mantap dengan adanya komunikasi dan interaksi melalui
internet. Ia dapat memperkasakan usahawan wanita ke arah yang lebih baik kerana
faktor hubungan dan jaringan memainkan peranan dalam membantu usahawan wanita
atas talian untuk terus mengekalkan perniagaan mereka dengan pelanggan sedia
ada. Sementara itu, risiko perniagaan dan inovasi produk menunjukkan hubungan
yang signifikan terhadap pemerkasaan wanita. Ini selari dengan Cland dan Cland
(2002) dalam Lai (2010) menjelaskan bahawa para usahawan harus berperanan
sebagai pengambil risiko, pencapaian yang tinggi, berinovasi serta tahu
menyelesaikan masalah untuk terus kekal dalam dunia perniagaan.
Justeru, kajian ini mendapati bahawa penyertaan digital usahawan
wanita dan ciri keusahawanan mempunyai hubungan yang signifikan terhadap
pemerkasaan wanita. Faktor risiko perniagaan dan inovasi produk menjadi
penyumbang terhadap pemerkasaan wanita namun ianya disokong dengan komunikasi
perniagaan yang tinggi dalam kalangan usahawan wanita. Oleh itu, gabungan
antara penyertaan digital dan ciri keusahawanan memberikan impak yang tinggi
terhadap pemerkasaan wanita. Kajian yang lebih terperinci perlu dijalankan
untuk memahami kemanfaatan penyertaan digital dalam kalangan usahawan wanita.
Cadangan kajian masa depan boleh diperluaskan dengan membuat perbandingan
antara responden yang menjalankan perniagaan atas talian dengan responden yang
tidak. Ini bertujuan melihat pola penyertaan digital serta kesannya terhadap
pemerkasaan wanita secara keseluruhan. Selain itu, cadangan kajian lanjutan
juga dapat dilakukan dengan memperluaskan skop kajian kepada jenis perniagaan
atas talian, implikasi periklanan atas talian, pemasaran internet dan
seumpamanya.
0 comments: